Thursday, February 22, 2018

Jarak dan langkah...

Selama di Mekah jarak hotel penginapan aku dengan masjid jauhnya 700 meter dan jalannya agak mendaki sedikit. Ini bermakna setiap waktu solat aku berjalan sejauh lebih satu kilometer. Dan apabila dicampurkan kelima-lima waktu jumlah keseluruhannya 7 kilometer.

Tanpa sedar aku telah melakukan satu rutin exercise sepanjang berada di sana. Sesuatu yang tak mungkin dan dapat aku lakukan di M'sia. Ini belum lagi dikira dan dicampur jarak semasa melakukan tawaf dan sa'ie.

Dan tahu tak berapa banyak langkah dan jarak kilometer semasa kita melakukan tawaf dan saie. Tentulah tak tahu sebab waktu itu kita khusyuk berdoa.

Satu sumber berkaitan dengan jarak dan langkah ketika tawaf dan saie telah aku perolehi dari FB ustaz mutawif yang memandu group kami.

Tawaf: Kiraan langkah ini di buat di tingkat dua, tempat kegunaan kerusi roda. Satu pusingan tawaf kita melangkah sebanyak 902 langkah dengan jarak 670 meter. Untuk tujuh pusingan lengkap tawaf kita melangkah sebanyak 6,314 langkah dengan jarak 5600 meter

Jika kita melakukan tawaf di bawah... lengkap tujuh pusingan jaraknya ialah 3.5 km

Sa'ie: Jarak antara Sofa ke Marwah pula ialah 370 meter dan kalau di kira langkah kita untuk sampai ke Marwah ialah 495 langkah. Bagi melengkapkan tujuh pusingan sa'ei kita berjalan sejauh 2,690 meter.

Lihatlah, dalam melaksanakan ibadat kita juga melakukan senaman. Setiap masuk waktu solat kita gagah berjalan menuju ke masjid dengan fikiran yang tenang dan gembira. Seronok melangkah beramai-ramai dan berduyun-duyun menuju ke satu arah... Masjidil Haram.

(nota sweetie: Ketika berjalan bersama rakan-rakan menuju ke masjid aku cakap, selesai umrah ini tentu aku jadi cantik dan kurus bila balik ke Malaysia. Bila di timbang berat badan aku susut 4 kg. hmmmm!)

Friday, February 16, 2018

Tertidur Keletihan...

Kali pertama berdiri memandang kaabah, hati terasa sebak. Tanpa sedar airmata bergenang.

Bermula dari lampu hijau di penjuru Hajarul Aswad aku mula melangkah... selangkah demi selangkah bersama ribuan umat Islam lain. Setiap pusingan dan langkahku sarat dengan doa. Moga segala kesilapan yang dilakukan dalam sedar atau tanpa sedar selama ini diampunkan yang Maha Esa.

Hingga selesai pusingan yang ketujuh aku berpelukkan dengan rakan yang memimpin sepanjang melakukan tawaf... sambil menyeka airmata yang bergenang di kelopak mata.

Syukur, aku berjaya menyudahkan tawaf dan saie kemudian menggunting tiga helai rambut. Selesai sudah umrah pertama.

Kenangan bersama rakan kumpulan setelah selesai
menyempurnakan tawaf. 

Dalam perjalanan pulang ke hotel nampak banyak kedai-kedai makan di kiri kanan jalan... dan aku lihat ramai orang beratur. Dan bersesak-sesak. Aku ingatkan pelanggan yang menunggu giliran membeli makanan... Rupanya tidak. Mereka mengharapkan sedekah dari pelanggan lain yang lalu lalang di situ.

Menurut ustaz mutawif kebanyakkan mereka itu jemaah yang datang dari India, Bangladesh dan negara yang berhanpiran. Mereka cuma datang dengan duit tambang tanpa tempat penginapan dan duit makan. Melihatkan keadaan itu, terfikir dalam hati, "aku datang dengan duit yang cukup. Boleh beli apa saja yang diinginkan dan makan serta tempat penginapan yang selesa. Betapa besarnya nikmat yang aku perolehi."

Kemudian aku nampak kedai jual nasi beriani, hati tiba-tiba teringin... dan beli sebungkus. Hajat hati ingin makan bersama rakan-rakan sebilik. Tapi sampai saja di bilik aku tertidur keletihan.

(nota sweetie: Paling nikmat, minum air zam-zam usai menyempurnakan tawaf sebelum menuju ke bukit safa untuk memulakan saie.)

Sunday, February 4, 2018

Dugaan lagi, batal wuduk aku...

Aku ini sorang yang agak payah untuk 'lelap'. Sejauh manapun perjalanannya pasti aku tak akan tertidur. Begitulah selama penerbangan menuju ke Jeddah. Sepicing pun aku tak tidur. Mata aku sentiasa melihat ke skrin yang menunjukkan di mana kapalterbang yang aku naiki ini berada.

Ketika kapalterbang hampir melintasi Qarnul Manazil dan sebelum pengumuman di buat oleh pramugari aku ke bilik air dan mengambil wuduk.. solat sunat dan selesai saja aku terus berniat. Seperti yang di pesan oleh ustaz yang memberikan kursus aku membaca niat bersyarat. Kemudian duduk diam-diam sambil menjaga pantang larangnya. Sambil memejamkan mata aku bertalbiah dalam hati... sudah tak sabar rasanya.


Sebaik nampak saja menara jam ini dalam 
perjalanan masuk ke Kota Mekah hati bagai 
diruntun-runtun ingin segera sampai.

Subuh 13 Januari, sebaik melangkah masuk ke terminal airport Jeddah, kami penumpang SV835 di sambut mesra oleh para petugas airport. Ucapan "selamat datang, selamat pagi" tak putus-putus kami terima... mereka menunjukkan arah jalan untuk beratur bagi pemeriksaan imigresen.

Oleh kerana aku datang bersendirian, aku beratur dibelakang ustaz mutawif yang akan 'memandu' group aku sepanjang mengerjakan umrah. Sementara yang lain dari kumpulan aku beratur di barisan lain bersama ahli keluarga mereka. Ya, dalam kumpulan aku, cuma aku sorang saja yang datang bersendirian.

Sambil berdiri menunggu giliran sempat juga aku memerhatikan suasana keliling. Kebanyakan petugas di kaunter imigresennya muda-muda dan 'cantik' dalam jubah mereka berwarna putih. Mereka amat peramah dan sentiasa tersenyum mengatur para jemaah umrah yang baru sampai. Berbeza sangat dari cerita-cerita yang aku dengar sebelum ini yang menggambarkan mereka ini serius dan berwajah bengis.

Line aku berbaris menunggu pemeriksaan pendek saja tapi tak tahu apa masalah di hadapan jadinya agak lama juga aku menunggu... sedangkan rakan-rakan sekumpulan dengan aku di barisan lain semuanya sudah melepasi pintu masuk.

Ketika aku berdiri di kaunter imigresen, petugas lelaki yang tadi kelihatan serius tersenyum dan bertanya pada aku, "nama siapa?"... Aku tanya dia balik, "You can speak Bahasa Malaysia?" dia jawab "no.." dan selamba saja dia menarik tangan aku dan meletakkannya di atas alat pengimbas cap jari.

Dugaan lagi... batal wuduk aku yang memang aku simpan untuk solat subuh kejap lagi. Insiden ini memang buat aku terkejut dan gerammmm!

Keluar dari terminal airport bas yang akan membawa kami seramai sembilan belas orang masuk ke kota Mekah sudah sedia menunggu. Suhu subuh itu sekitar 22 darjah celcius.

Sebaik saja bas yang membawa rombongan kami dari airport berhenti berhampiran hotel penginapan, azan subuh berkumandang dari Masjidil Haram. Syahdu sangat laungannya pada pendengaran aku. Dan aku melihat seperti dalam tv barisan orang ramai bersembahyang di atas jalanraya.

(nota sweetie: dicatat sebagai kenangan)

Wednesday, January 31, 2018

"Biar Betul!.."

Aku sedar, aku ini serba kekurangan dan naif dalam hal agama. Dan apabila aku tiba-tiba terpanggil untuk mengerjakan umrah ada bekas rakan sekerja yang 'menerima sinis' hajat aku ini. Masih ingat lagi aku akan katanya begini.. "biar betul!" bila dapat tahu aku akan ke Mekah. Mungkin pada pandangan matanya aku ini tidak layak untuk menjejakkan kaki ke Tanah Haram.

Jauh di sudut hati aku sedih dengan kata-katanya. Aku tak faham apa sebenarnya dalam hati dia. Dulu ketika aku mahu ke London untuk menjenguk si abang pun begitu juga. Dikatanya, 'buat apa buang duit pergi London, baik pergi Mekah." Dan bila aku mahu ke Mekah... pun salah juga pada dia.

Apapun, kata-kata itu aku jadikan penguat semangat. Selama tiga bulan aku sentiasa menghadiri kursus umrah yang di berikan oleh travel ejen yang akan aku ikut. Aku utarakan segala kemusykilan pada ustaz yang memberikan kursus. Malah jemaah lain yang sama-sama mengikuti kursus itu meyakinkan dan memberikan kata-kata semangat pada aku.

Kala orang lain dalam usia aku ini sudah beberapa kali mengerjakan umrah dan haji, namun bagi aku inilah pertama kali. Kerisauan itu tetap tidak mahu berganjak dari hati. Lebih-lebih lagi aku pergi bersendirian tanpa di temani suami dan anak-anak. Malah Ojet pun merungut dengan kakak aku, katanya aku ini tak sabar. Rancangannya dia pun nak ikut tapi time aku di Mekah itu dia ada exam di MII dan ujian kecergasan di INTAN.

Aku terfikir juga nak ajak seseorang sebagai teman ke sana... Yelah, pergi umrah ini bukan macam pergi melancong, senang-senang orang nak ikut. Banyak faktor yang perlu di ambil kira.

Dalam berkira-kira nak ajak siapa... aku teringat rakan sekolah masa darjah 6 dulu. Tak sangka pelawaan aku disambut baik. Dia bersetuju malah suami dan anak-anaknya juga ikut sekali. Persetujuannya ini memberi nafas lega kerana pada aku dia bukan saja sebagai teman malah tempat rujukan pada aku nanti. Dialah blogger yang aku maksudkan... seorang bekas guru dan ustazah.

Dan sehari sebelum berlepas, ada juga beberapa orang bekas rakan kerja dulu yang sudahpun mengerjakan ibadah umrah dan haji menalipon memberikan kata-kata semangat, tips serta doa-doa agar segalanya di permudahkan:

"Rabbi yassir wala tu' assir, rabbi tammin bil khoir" 

Rasanya inilah perjalanan paling indah pernah aku lalui... teringat lagi aku bagaimana rakan-rakan yang baru aku kenali yang duduk sebelah menyebelah dalam kapal terbang mengajar aku bagaimana mengambil wuduk dengan botol air spray.

Alhamdulillah berkat keazamanan ingin melakukan sesempurna mungkin, akhirnya  dipermudahkan jalan dan aku selamat menjejakkan kaki di Tanah Haram pagi subuh 13 Januari 2018. Lewat sehari seperti yang di jadualkan.

Sunday, January 28, 2018

Inilah Ujian Pertama...


Taklimat dari mutawif sebelum berlepas.

Sudah lima hari kembali dari mengerjakan ibadah umrah. Badan kurang sihat. Batuk dan selsema yang agak teruk. Bila batuk sampai terkencing-kencing. Untuk lima hari yang berlalu ini aku hanya berehat dan berbaring saja di katil. Namun hati masih teringat-ingat dan bayangan saat-saat ketika berada di Tanah Haram sentiasa berlegar-legar difikiran... malah terbawa-bawa hingga kedalam mimpi setiap kali tidur.

Kembali mengingati perjalanan umrahku... bermula dari hari untuk berlepas malam Khamis 11 haribulan itu sudah ditandai dengan ujian pertama. Saudia Airlines yang sepatutnya membawa kumpulan jemaah dari Malaysia dan Indonesia terpaksa membatalkan penerbangan malam itu kerana kerosakan teknikal.

Tidaklah diketahui apa sebenarnya yang berlaku tetapi sebaik masuk  ke dalam kapal, suasana terasa panas. Hampir sejam kami semua berada dalam keadaan tersebut. Masing-masing sudah mula mengeluh... kemudian barulah pengumuman di buat mengarahkan semua penumpang keluar. Sementara menunggu aircond kapal di baiki setiap penumpang di beri boarding pass dan kupon makan.


Jemaah dari Indonesia ada yang sudah tertidur di boarding 
hall. Mereka ini transit satu hari di KL dari Jakarta.

Dua jam berlalu, sepanjang menanti itu, bermacam-macam andaian dan spekulasi yang aku dengar. Ada yang kata tukar kapal lain... di sebelah lain pulak kata, tunggu kapal lain yang 'di datangkan' dari Arab Saudi dan tak kurang juga mengandaikan penerbangan kami malam itu di tangguhkan.

Saat waktu hampir dua belas malam kedengaran pengumuman di buat mengarahkan penumpang SV835 masuk semula ke dalam kapal. Suasana di dalam kapal tiada yang berubah... masih terasa berbahang. Tak sampai sejam sekali lagi pengumuman 'dilaungkan'... semua penumpang diarahkan keluar semula dan sah penerbangan malam itu di batalkan.

Dan kami semua di hantar dengan beberapa buah bas ke Palace of the Golden Horses hotel di Mines Resort City, Seri Kembangan untuk bermalam. Kos penginapan malam itu di tanggung Saudia Airlines


Palace of the Golden Horses hotel.

Pagi Jumaat 12 haribulan... Selepas sembahyang jumaat, semua penumpang SV835 yang menginap di Palace Golden Horses di beritahu agar bersiap sedia untuk kembali semula ke KLIA. Setiap wajah sudah mula kelihatan berseri-seri dan kembali ceria walaupun agak keletihan dan mengantuk kerana ada diantara kami sampai di hotel pukul lima pagi. Dan kami berharap agar hari ini kami benar-benar terbang dan tiada penangguhan lagi.


Bas-bas yang membawa jemaah ke KLIA semula.

Alhamdulillah selepas segala urusan selesai hari Jumaat malam Sabtu itu kami terbang menuju ke Jeddah.

Kejadian yang menimpa kami ini mengingatkan aku tentang perjalanan Rasulullah untuk mengerjakan umrah pertamanya pada tahun 6 hijrah... dimana niat Rasulullah dan rombongannya untuk mengerjakan umrah pada tahun itu tidak dapat di laksanakan dan tertangguh selama setahun kerana di halang dan tidak dibenarkan memasuki Mekah oleh kaum kafir Quraisy. Bila di fikirkan apalah sangat kalau hendak dibandingkan dengan penangguhan aku yang cuma sehari sahaja.

(nota sweetie: sebelum berlepas aku sempat bertanya dengan salah seorang pramugari... adakah kapal yang kami naiki itu adalah kapal yang rosak semalam. Dia kata "ya" ... dan dalam senyum dengan nada perlahan dia berbisik 'kita berdoa agar selamat").

Wednesday, January 10, 2018

Memenuhi jemputan...

Dalam hati sekarang ada debaran. Bermacam-macam rasa datang bertandang menjentik pintu perasaan. Tak pernah rasa begini. Malah ketika pertama kali menjenguk abang di United Kingdom empat tahun dulu pun tidak begini hebat getarannya.

Kembara kali ini lain dari kembara-kembara terdahulu, Kembara kali ini memenuhi 'jemputan dan undangan' bertamu ke rumah Allah. Dan 'menziarahi Rasulullah di Madinah. Rasanya 'jemputan' ini sampai ketika aku berada di lapangan terbang Perth ketika penerbangan untuk pulang ke M'sia bulan Julai tahun lepas. Tidak semena-mena aku tiba-tiba beritahu adik di talipon aku ingin ke Mekah.

Sejak itu selama beberapa bulan ini memang aku sengaja menyepikan diri. Mempersiapkan diri untuk menjadi tetamu-NYA. Menghadiri kursus umrah setiap hari minggu. Dan sebelah malam pada hari-hari biasa dari Maghrib membawa ke Isya' selain solat berjemaah di surau aku juga menyemak kembali bacaan al-Quran dengan seorang ustaz tahfiz.

Impian aku, sepanjang tujuh hari di Mekah aku ingin menghabiskan sebilangan besar waktu di masjid dengan aktiviti membaca al-Quran, sembahyang sunat dan menqada'kan sembahyang yang tertinggal... Mudah-mudahan impian ini terlaksana.

Siapa yang tidak mahu 'merebut' 120 rahmat yang turun di Kaabah setiap hari. Hanya tengok saja kita sudah mendapat 20 rahmat. Dan bila kita sembahyang di depan Kaabah 40 rahmat lagi akan diperolehi. Dan bayangkanlah kalau kita berada di situ sepanjang waktu dengan membaca Al-Quran.

Moga kehadiran aku di rumah-NYA di terima dan mendapat umrah yang maqbul. InsyaAllah.

(nota sweetie: kepada rakan-rakan blogger, ampun dan maaf aku pinta andai kata ada tutur bicara dan komen yang di tulis selama ini menyinggung perasaan. Dan saat coretan ini aku post... aku sudah berada jauh berpijak di Tanah Haram, bumi anbiya.)

Wednesday, December 6, 2017

Setelah sabar menunggu...

Siap sudah kerja-kerja mengubah dan membesarkan ruang tamu. Setelah 'begitu sabar' menunggu... akhirnya aku berpuas hati dengan hasilnya. Pekerja Indonesia yang aku upah benar-benar memahami apa yang aku inginkan. Kerja mereka kemas dan teliti. Mereka juga membantu aku memilih warna cat dan turut memberikan pandangan juga idea. Malah fedback dari jiran-jiran juga memuji 'ketelitian' dan hasil kerja mereka.

Sepanjang sebulan lebih mereka melakukan renovation ini, kawasan sekitar tempat mereka melakukan kerja bersih dan kemas. Tiada barang-barang pertukangan, sisa-sia konkrit, simen dan kayu-kayu bertaburan, Setiap kali mereka selesai melakukan tugas, kawasan sekitar, terutamanya yang melibatkan jiran sebelah menyebelah akan dikemas bersih dan di cuci.

Kini yang tinggal tugas aku mengemas dan membersihkan habuk-habuk. Rasa tak cukup tangan aku melakukan semuanya. Masa pula seakan-akan berlari pantas.

Hanya ada beberapa minggu saja masa yang ada untuk aku menyelesaikan kerja-kerja mengemas dan menyusun semula perabut-perabut sebelum datangnya tahun baru.

Kenapa aku risaukan kedatangan tahun baru... dan rumah tak siap lagi dikemas? 

Owh! awal Januari ini aku akan melakukan satu lagi 'kembara'. Itu sebabnya, kalau boleh sebelum berangkat, aku nak pastikan rumah kemas dan teratur. Anak-anak pula rasa tenang bila pulang ke rumah dan selesa berehat-rehat melepaskan lelah setelah seharian menghabiskan waktu di tempat kerja. 

Dan bila pulang dari kembara nanti aku juga rasa seronok tengok rumah kemas dan cantik!


Aku telah menukar pintu masuk dari pintu gelongsor 
kaca ke pintu kayu. Serik dengan sliding door... selalu sangat
 rodanya jatuh dari rel. Selamat tinggal pintu gelongsor.


Warna cat dinding, bingkai tingkap dan rekabentuk
luaran gabungan idea aku dan tukang rumah. Pekerja 
Indonesia yang aku upah memahami citarasa dan 
konsep yang aku mahukan.

(nota sweetie: InsyaAllah! 'kembara' kali ini bersama seorang kawan  blogger .